RSS

belanjawan

Apakah belanjawan?

Pada amnya , belanjawan merupakan satu ringkasan jangkaan pendapatan yang akan diperolehi dan senarai perbelanjaan yang dibuat. Tujuannya ialah untuk mendapatkan keseimbangan antara pendapatan dan perbelanjaan.  Membentuk belanjawan keluarga mungkin berbeza antara satu keluarga dengan keluarga yang lain berdasarkan keperluan masing-masing. Ada keluarga merasakan membuat simpanan dengan mengasingkan sedikit pendapatan keluarga untuk membeli kereta baru adalah lebih penting daripada tujuan lain. Ada pula keluarga lain yang sudah rasa berpuas hati menggunakan kereta lama dan simpanan yang dibuat akan digunakan untuk bercuti diluar negara.

Apabila anda membentuk belanjawan keluarga, sebenarnya anda sedang mewujudkan satu pelan perbelanjaan dan simpanan untuk keluarga anda. Faktor penting yang menentukan kejayaan seseorang individu atau keluarga ialah kemampuan mereka untuk mewujudkan satu pelan belanjawan dan kemudiannya berusaha untuk terus hidup dibawah pelan belanjawan itu.

Tujuan belanjawan :-

  • Jika anda membuat belanjawan dan akur dengan belanjawan itu, anda kurang terdedah kepada kemelut kewangan dalam perbelanjaan harian anda dan keluarga anda.
  •  Sesuatu belanjawan yang baik dapat membantu anda mencapai matlamat kewangan diri anda dan keluarga kerana melalui belanjawan itu anda boleh mengawal berapa banyak keluarga berbelanja dan berapa banyak pula anda menyimpan.
  • Belanjawan dapat menghindar banyak kejutan kewangan kerana anda telah merancang lebih awal dan tahu apa yang akan berlaku pada setiap bulan.
  • Mengatur belanjawan dengan baik boleh membentuk tabiat positif pada diri anda dan anak-anak.
  • Belanjawan dapat membantu anda melihat dengan jelas ke mana perginya wang anda.

Pernahkah kita terfikir kenapa bajet negara ini teramat penting?
Sekiranya kerajaan tidak memperuntukkan bajet untuk setiap kegiatan
yang bakal diadakan, tentunya negara akan menghadapi masalah dalam menguruskan kewangan negara. Prestasi negara juga sukar ditafsirkan dan seterusnya ia membawa masalah kepada negara secara keseluruhannya.

Begitu juga halnya dengan keluarga. Seperti yang diketahui, wang
adalah `item’ penting dalam kehidupan. Pengurusan wang yang baik
diperlukan oleh setiap orang, terutama bagi mereka yang sudah berumah tangga.

Pernahkah terlintas di fikiran anda bagaimanakah sebuah keluarga yang berpendapatan RM600 sebulan masih boleh mengekalkan kebahagiaan rumah tangga sama seperti keluarga berpendapatan RM6,000 sebulan?

Dalam masyarakat kita pada hari ini masih ada lagi keluarga yang
berpendapatan lima angka, tetapi masih mempunyai masalah kewangan. 
Disebabkan itulah pengurusan wang yang baik akan menjamin kesejahteraan dan keharmonian berpanjangan. Firman Allah
bermaksud: “Dan berikanlah kepada keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan dan janganlah kamu membelanjakan harta kamu secara boros. “Sesungguhnya pemboros itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat 26-27).

Apabila kita berbincang mengenai bajet keluarga, bermakna kita
membincangkan bajet sekumpulan yang melebihi seorang. Usaha ke arah bajet yang baik bukan hanya bergantung kepada beberapa orang dalam keluarga, malah membabitkan komitmen semua ahli dalam keluarga.

Perancangan kewangan tidak akan dapat dilaksanakan sepenuhnya tanpa ada kerjasama di antara satu pihak dengan pihak yang lain. Namun, bagaimana bajet keluarga ini boleh dilaksanakan dengan jayanya? Secara sedar mahupun tidak, bajet berhemat seharusnya bermula di rumah.

Rumah adalah tempat ahli dalam sesebuah keluarga berkumpul,
berinteraksi dan berkongsi segala masalah dalam kehidupan. Disebabkan itulah perancangan kewangan juga seharusnya bermula di rumah.

Ada beberapa panduan untuk mengurus bajet keluarga dengan berkesan. 

Pertama, biasakan ahli keluarga dengan sikap berjimat cermat di rumah. Budaya berbelanja mewah semakin menular di kalangan umat Islam hari ini. Ia menjadi satu budaya yang mempengaruhi secara langsung dan tidak langsung gaya hidup masyarakat. Ia bukan saja menyerang golongan berpendapatan tinggi, malah berpendapatan rendah juga berbelanja secara berlebihan di luar kemampuan mereka. Ini dilakukan semata-mata untuk meniru gaya hidup mewah yang dianggap sebagai suatu kemestian dan lambang kebanggaan. Maka mereka lupa dan berada di luar batasan normal dari segi akhlak dan perbelanjaannya.

Mereka sanggup berbelanja lebih semata-mata untuk menyambut perayaan atau hari jadi di hotel mewah dengan melakukan pembaziran wang. Kehidupan mewah tanpa batasan adalah bertentangan dengan etika Islam n berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Dan jika kami hendak membinasakan sesuatu negeri, maka kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu supaya mentaati Allah, tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan) Kami, kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.”(Surah al-Isra’, ayat 16).

Oleh itu, di rumah adalah tempat yang sesuai untuk mendidik ahli
keluarga agar berjimat cermat. Penjimatan penggunaan air dan elektrik perlu dilakukan agar tidak membazirkan wang ringgit.

Begitu juga dengan makan minum seharian. Hidangan seharian perlulah ala kadar dan tidak berlebih-lebihan sehingga boleh menyebabkan makanan dan minuman terbuang begitu saja.

Ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud:

“…Makan dan minumlah, dan jangan kamu berlebih-lebihan.” (Surah al-A’raf, ayat 31)

Kedua, biasakan ahli keluarga hidup secara wasatiah (sederhana),
walaupun mampu dari segi kewangan. Sekiranya hendak membeli barangan seperti perabot rumah adalah lebih baik membeli perabot keluaran tempatan yang tidak memerlukan pengeluaran wang yang banyak berbanding barang import.

Ini bukan saja mengurangkan beban kerana terpaksa membayar lebih
disebabkan cukai, malah akan melatih anak kita hidup secara sederhana dan tidak berlebihan. Ini seperti sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud: “Sebaik-baik perkara adalah tengah-tengahnya.”

Ketiga, latihlah ahli keluarga merancang dulu sebelum berbelanja.
Sebaik-baiknya, senaraikan barangan yang perlu dibeli. Ketika di
pusat membeli-belah kita kerap membelanjakan wang untuk barangan yang tidak perlu. Oleh itu, dengan adanya senarai barangan yang hendak dibeli sekurang-kurangnya kita boleh mengelak daripada berbelanja ke atas barangan di luar daripada perancangan.

Keempat, amalkan sikap suka menabung di kalangan ahli keluarga. Anak patut dilatih sejak kecil untuk menabung dan sediakan tabung untuk menarik minat anak berjimat cermat dalam penggunaan wang belanja seharian.

Ada keluarga yang memperuntukkan sejumlah wang untuk anak mereka setiap bulan sejak kecil lagi. Malah, kebanyakan bank menyediakan perkhidmatan simpanan untuk pendidikan anak pada masa depan. Peluang sebegini perlulah direbut oleh ibu bapa sekiranya mampu. Sekiranya bajet hendak diselaraskan dengan lebih teratur, sediakan peruntukan kewangan bulanan keluarga.

Agihkan peruntukan yang sepatutnya berdasarkan pendapatan dan
kemampuan sesebuah keluarga.

Di sini, sesebuah keluarga perlu bijak melihat kepentingan sesuatu
perbelanjaan. Bagi perkara yang kurang penting tidaklah perlu
dimasukkan ke dalam bajet bulanan. Dengan ini, kedudukan kewangan
keluarga akan lebih stabil dan meyakinkan.

Janganlah kita berbelanja mengikut hawa nafsu tanpa perancangan. Ini
juga disebut dalam al-Quran melalui firman-Nya bermaksud : “Adapun
yang takut maqam tuhannya, mencegah diri menurut nafsu maka syurgalah tempat kembalinya.” 
(Surah al-Nazi’at, ayat 40-41). Oleh itu, bajet berhemat harus bermula di rumah bagi menjamin kebahagiaan rumah tangga dan sekali gus mengekalkan keharmonian masyarakat sejagat.

Semoga kita semua termasuk di dalam golongan orang yang bersyukur dan tidak rugi di dunia dan akhirat. Firman Allah yang bermaksud: “Dan ingatlah juga, tatkala Tuhanmu memaklumkan: sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah nikmat kepada kamu, dan jika kamu mengingkari nikmatku maka sesungguhnya azabku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

  •  
    %d bloggers like this: